Tangani Anak Hiperaktif Dengan Kasih Sayang

Post 171 of 224

Menangani anak yang hiperaktif bukanlah perkara yang mudah terutama kepada ibu bapa dan guru yang mendidik anak hiperaktif.

Jujurnya, anak saya juga tergolong dalam golongan kanak-kanak hiperaktif. Kadang kala sangat menguji tahap kesabaran.

Bagaimana saya mengetahui anak saya hiperaktif. Sebagaimana ibu bapa yang lain, saya sendiri tidak perasan anak saya hiperaktif.

Ini kerana di rumah dia sangat baik cuma dia ada satu perangai iaitu dia mudah bosan dan tidak begitu fokus dalam melakukan sesuatu. Perasaan ingin tahu dia begitu menebal dengan pelbagai soalan yang kadang kala buat saya kelu mencari jawapan.

Sehingga saya memilih dan menghantarnya ke tadika ketika berumur 4 tahun. Pada ketika itu, saya tertanya-tanya melihat keadaan kelas dia. Kosong tiada kerusi dan meja.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana saya memilih tadika yang pada saya peka dengan perkembangan kanak-kanak. Pada ketika inilah, baru saya mengetahui rupanya anak saya seorang yang hiperaktif.

Bermula dari situ saya mula menggali maklumat untuk menangani kanak-kanak yang hiperaktif. Subhanallah, kerdilnya saya rasakan pada ketika itu. Rupanya saya telah lama mengamalkannya sejak anak saya kecil. Saya amalkan mengikut cara didikan mak saya dan hasil dari sedikit pembacaan mengenai keibubapaan.

Ini adalah beberapa cara yang diberitahu bagaimana menangani anak-anak yang hiperaktif yang dinamakan program kasih sayang tanpa syarat. Antaranya ialah:

  1. Peluk anak sekerap yang mungkin dengan penuh kasih sayang, kusyuk dan bisikkan padanya betapa kita sayang padanya.
  2. Berikan sepenuh kepercayaan dan jangan pukul atau marah ketika dia membuat salah. (Yang ini sangat mencabar, kadang kala saya sendiri terbabas)
  3. Ajar dan tegur perbuatan yang dilakukannya itu tidak elok dan beritahu sebab-sebab dan apa pula perbuatan yang lebih baik dan manis.
  4. Luangkan masa bersama untuk meningkatkan kecerdasan pemikirannya dan memberikannya pendedahan tentang ilmu dan kemahiran yang dia gemari.
  5. Sentiasa ada disampingnya untuk mendengar dan memberi galakan serta kata-kata perangsang.
  6. Apa sahaja yang kita lakukan bersamanya buatlah dengan ikhlas dan konsentrasi.
  7. Dapatkan info, kursus dan panduan untuk membolehkan kita sentiasa sabar, tenteram dan menggunakan akal orang dewasa dalam melayan kerenah anak-anak. Jaga kesihatan supaya sentiasa kuat dan sihat dan tidak sering letih supaya boleh melayani anak-anak.
  8. Sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah swt supaya memberikan kekuatan, keyakinan, kesabaran, ketabahan dan juga rezeki supaya boleh terus menunaikan kewajipan membesarkan anak supaya menjadi KHALIFAH dibumi Allah.

Terima kasih Ya Allah atas anugerah terindahmu yang banyak mengajar saya erti sebenar seorang ibu. Inilah permata saya bersama kawan dia yang baru dia kenali. Nampak sangat akrab kan.

CYMERA_20141122_005722

 

Sumber rujukan: Majalah Pa&Ma

 

This article was written by Syasya

Shaklee Independent Distributors... SID NO : 1105044

MENU